Jika ilmu itu dianggap cahaya, dan ianya tidak memasuki hati yang gelap, apa lagi rahmat ALLAH yang pastinya lebih tinggi dan mulia dari ilmu. Malah, sebenarnya, kefahaman kita untuk mendekati ALLAH itu juga adalah ilmu.
Memang, jika kita perhatikan, apabila hidup kita ini bergelumang dengan dosa, maka kita akan menjadi sukar untuk mendapatkan sesuatu atau melakukan sesuatu. Malah mungkin, apabila kita melakukan dosa dan maksiat, kita tidak mampu melakukan perkara yang biasanya kita boleh lakukan. Kekuatan kita seakan-akan terhijab apabila kita melakukan dosa.
Kenapa?
Dosa pada hakikatnya akan menubuhkan satu bintik hitam di dalam hati kita. Saya jadi teringat dengan satu kata-kata, saya tidak pasti ia adalah hadith ataupun kata-kata ulama’, tetapi kata-kata itu berbunyi begini
“ Dosa itu akan menghitamkan hati. Apabila manusia itu melakukan satu dosa, maka akan tumbuh satu bintik hitam pada hatinya”
Maka, jika kita berterusan melakukan dosa, tidakkah hati kita akan jadi semakin hitam?
Sesungguhnya hati itu terbahagi kepada tiga.
1. Hati yang hidup.
2. Hati yang sakit.
3. Hati yang mati.
Ketiga-tiga jenis hati ini, kita perlulah memberikan perhatian yang penuh. Jika kita sering melazimi dosa, dan tidak berusaha menjauhinya, maka hati kita akan jatuh pada peringkat hati yang sakit. Pada peringkat hati yang sakit ini, anda akan lihat diri anda rasa berat untuk beramal, anda mula rasa enak dengan dosa yang anda lakukan, dan anda mula perhatikan yang diri anda jauh dari ALLAH. Jika pada peringkat ini anda masih tidak sedarkan diri dan berusaha untuk berperang dengan dosa, dan berusaha kembali untuk mendekati ALLAH, maka hati anda akan terus menghitam dan jatuh pada hati yang mati. Adakah manusia di dalam alam ini, yang mati kemudian hidup kembali? Maka seorang mu’min akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menjaga hatinya. Kerana hatinya adalah raja kepada seluruh tubuhnya
Rasulullah S.A.W. bersabda,
“ Di dalam tubuh manusia itu, terdapat segumpal daging, jika baik daging itu, maka baiklah seluruh tubuhnya, jika buruk daging itu, maka buruklah seluruh tubuhnya, maka ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati” - Al-Hadith.
“ Di dalam tubuh manusia itu, terdapat segumpal daging, jika baik daging itu, maka baiklah seluruh tubuhnya, jika buruk daging itu, maka buruklah seluruh tubuhnya, maka ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati” - Al-Hadith.
Mendekati Raja Segala Raja, Pencipta Segala Pencipta, ILAH dan RABB kepada seluruh alam semesta, kita hendak atau tidak hendak, perlu mengistiharkan perang dengan dosa. Jika pada saat ini, diri kita masih dibelenggu dengan dosa-dosa yang kita suka lakukan, atau sudah terbiasa lakukan, maka kita perlu berusaha menjauhinya dengan gerak tindakan yang konsisten.
Tiada manusia yang boleh berubah serta-merta, tetapi semua manusia perlu bergerak dan berusaha untuk berubah. ALLAH itu Maha Penyayang. DIA tidak akan mengecewakan hamba-hambaNya yang mendekatiNya.
Tiada manusia yang boleh berubah serta-merta, tetapi semua manusia perlu bergerak dan berusaha untuk berubah. ALLAH itu Maha Penyayang. DIA tidak akan mengecewakan hamba-hambaNya yang mendekatiNya.
“ Sesungguhnya ALLAH sukakan orang yang sering bertaubat dan orang yang membersihkan diri” Surah Al-Baqarah ayat 222.
Kita sebagai anak Adam pastinya akan melakukan banyak dosa, tetapi sebaik-baik pelaku dosa adalah orang yang sering bertaubat.
Mari kita isytiharkan perang terhadap dosa-dosa kita. Mendekati ALLAH Yang Maha Besar, dan mendapatkan Syurga Yang Selama-lamanya itu lebih besar dari keseronokan dosa kita yang sementara. Maka mari kita berusaha bersama-sama.
Ya, bersama-sama. Sahabat dan saya.
Kita sama-sama berperang, meningkatkan diri, meninggalkan dosa, mendekati ILLAHI.
Susah?
Ah.. itu perkara yang tidak perlu kita fikirkan. Jangan jadikan susah sebagai alasan. Balasannya adalah syurga! Saya ulang, Syurga! Yang luasnya melebihi langit dan bumi, yang segala berkenaan denganya tidak dapat kita bayangkan dengan fikiran kita. Tambahan, syurga itu, di dalamnya kita kekal abadi. Apakah susah dalam memerangi dosa ini dapat kita bandingkan dengan Syurga itu
Marilah kita duduk sebentar, berfikir, bermuhasabah, dan mengoreksi diri.
Assalamualaikum,
ReplyDeleteMenarik artikel ni :)
Salah satu cara ingin menghidupkan hati ialah dengan menghadiri majlis-majlis ilmu, bergaul dengan orang yang alim, solat dan membaca al-Quran.
Salam ziarah :)